suria

Tiada 8,000 Pendatang Rohingya, Bangladesh Masuk Ke Malaysia - Imigresen

PETALING JAYA: Sehingga kini, tiada 8,000 pendatang Myanmar yang terdiri daripada etnik Rohingya dan Bangladesh masuk ke Malaysia seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Zahari Abdul Aziz berkata, sekiranya ia benar seperti yang dilaporkan sudah tentu pihak berkuasa di negara ini telah engesan kehadiran mereka.

"Setakat ini, memang tak ada 8,000 pendatang atau pelarian Rohingya dan Bangladesh seperti yang dilaporkan.

"Sekarang senyap sahaja, tak ada sebarang berita. Jika ada, sudah tentu mereka datang ke sini," katanya kepada mStar Online.

Beliau bagaimanapun berkata, pihak berkuasa sentiasa mengadakan kawalan keselamatan di perairan negara.

"Semua agensi penguatkuasa sentiasa memantau dan mengawasi sempadan dan perairan negara ini," kata Zahari.

Pada Mei lalu, heboh dilaporkan lebih 8,000 pendatang Rohingya dari Myanmar serta Bangladesh dikesan berada di tengah laut dalam cubaan mereka untuk memasuki Malaysia secara haram.

Laporan mengenai sejumlah besar pendatang itu timbul selepas negara digemparkan dengan kehadiran 1,158 warga Bangladesh dan pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak mendarat di Langkawi pada 10 Mei lalu.

Jurucakap Pertubuhan Antarabangsa Mengenai Migrasi (IOM), Leonard Doyle turut dilaporkan sebagai berkata, terdapat maklumat mengenai seramai 8,000 pendatang masih di laut.

Malah pelbagai pihak menggesa kerajaan supaya membantu sejumlah besar pendatang yang terkandas ini dengan membenarkan mereka masuk ke negara ini atas dasar kemanusiaan.

Menurut sumber lain, bilangan 8,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh itu hanyalah sebagai satu andaian yang tidak wajar dibuat sebarang spekulasi selagi belum ada kesahihan mengenainya.

Kata sumber itu, hasil rondaan pihak berkuasa seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak mengesan kehadiran sejumlah besar pendatang seperti yang dilaporkan.

"Bagaimanapun, menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab utama dan semua agensi penguatkuasa perlu memainkan peranan itu," kata sumber itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain