KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Jerman berkata mereka akan memantau perhimpunan Bersih 4.0 hujung minggu ini. Dalam emel kepada Bernama, Kedutaan AS berkata: "Amerika Syarikat mengambil maklum tentang bantahan secara aman yang akan diadakan itu dan menyokong kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman". Kedutaan Jerman juga berkata ia menyokong kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun secara aman. "Jerman memperjuangkan tadbir urus baik, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang," kata jurucakap kedutaan itu. Suruhanjaya Tinggi Kanada dan Australia enggan mengulas tentang perkara itu, manakala Suruhanjaya Tinggi Britain pula tidak dapat dihubungi.