PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan hukuman mati terhadap seorang tukang kebun warga Pakistan kerana memancung leher seorang doktor penjara yang didakwa menghina agamanya. Panel lima anggota yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak rayuan akhir Shafaqat Ali Ghulam Nabi terhadap sabitan kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya. Zulkefli berkata ia merupakan suatu pembunuhan kejam dan tidak sepadan dengan provokasi yang dilakukan mangsa, jika pun benar dia berbuat demikian. Shafaqat, 33, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Harjit Singh a/l Bachan Singh, 51, di rumahnya di Kampung Sungai Padang Sertik,Bentong, Pahang pada 8.30 malam, 23 Ogos 2011. Tertuduh mengemukakan rayuan mengenai hukuman itu kepada Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya. Menurut fakta kes, mangsa dijumpai di hadapan rumahnya dengan kepalanyaterputus daripada badan. Shafaqat, yang bekerja di kebun tanaman pokok kemboja si mati, menggunakan parang sepanjang dua kaki untuk memancung leher doktor itu. Dalam keterangannya, rakan warga Pakistan itu, Jamsheet Ali berkata pada malam kejadian, sebaik sahaja pulang ke rumah daripada bekerja, dia melihat Shafaqat dan doktor itu berbual-bual di luar rumah berkenaan. Lelaki itu berkata dia bersama-sama mereka untuk minum teh sebelum Shafaqat menyuruhnya masuk ke dalam rumah. Kata Jamsheet, 15 minit kemudian, Shafaqat datang menemuinya di dapur dan memberitahu yang dia telah memancung leher si mati. Saksi itu berkata Shafaqat memberitahunya dia membunuh doktor berkenaan kerana tidak dapat menerima perbuatannya menghina Kaabah. Shafaqat diwakili peguam Kitson Foong, manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pihak pendakwa.-Bernama