KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) akan dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi Ahad ini sempena sambutan ambang Hari Kebangsaan. Perkhidmatan tren tambahan itu adalah hanya untuk laluan KL Sentral ke Rawang, Putra ke Sg Gadut dan Putra ke Pelabuhan Klang, menurut kenyataan KTM di sini, Jumaat. "Enam buah stesen yang dilanjutkan waktu operasinya adalah Stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur, KL Sentral, Mid Valley dan Bandar Tasik Selatan khusus bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai meraikan sambutan "Ambang Merdeka" yang dianjurkan di sekitar ibu negara seperti Dataran Merdeka, KLCC, Bukit Bintang dan sebagainya," menurut kenyataan itu. Sementara itu, bagi pengguna yang ingin mengunjungi Dataran Merdeka untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan Isnin ini, operasi perkhidmatan komuter bagi semua laluan akan dimulakan seperti biasa bermula pukul 5.30 pagi. "Para pengguna dinasihatkan membeli tiket dua hala atau menggunakan kad Touch n Go bagi mengelakkan kesesakan di kaunter dan mesin tiket ketika waktu pulang," menurut kenyataan itu. Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi pusat panggilan KTM Berhad di 1300 88 5862 atau twitter@ktmkomuter.