suria

Lelaki Cedera Terkena Tembakan Perompak

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki cedera di bahu selepas terkena dua das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki yang cuba mencuri kenderaannya di Jalan Hiliran di sini.

Kejadian kira-kira 9 malam Khamis itu berlaku ketika mangsa yang berusia 28 tahun menghampiri kenderaan Toyota Hilux miliknya untuk mengambil kad Astro.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata sebaik menghampiri kenderannya yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai keluarganya, mangsa terserempak dengan seorang lelaki yang dipercayai cuba melarikan kenderaannya.

Beliau berkata perompak itu melepaskan tembakan ke arah mangsa dan terkena pada bahu sebelah kanannya.

"Kita tidak menolak kemungkinan suspek ingin melarikan kenderaan terbabit namun terkejut melihat pemiliknya menghampiri kenderaan itu lalu terus melepaskan tembakan ke arahnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Selepas kejadian tembakan itu, katanya suspek terus melarikan diri menggunakan kereta Toyota Wish berwarna putih.

Idris berkata semasa kejadian, mangsa sedang menikmati makan malam bersama anggota keluarganya sebelum bapanya meminta mangsa mengambil kad Astro yang tertinggal di dalam kenderaan pacuan empat roda mangsa.

"Anggota keluarga mangsa mendengar dua das tembakan dilepaskan sebelum mangsa berjaya menyelamatkan diri di hadapan kedai elektrik milik keluarganya," katanya.

Beliau percaya lebih daripada dua suspek terlibat dalam kes itu.

Susulan kejadian itu, polis sedang mengesan kelongsong peluru berhampiran lokasi kejadian serta melancarkan Ops Tutup di sekitar kawasan Kuala Terengganu bagi mengesan suspek.

Menurutnya mangsa yang bekerja di Chendering, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan dilaporkan stabil.

Artikel Lain