suria

Jangan Terpengaruh Agenda Pembangkang - Ismail Sabri

PAPAR:  Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan anggota parti di semua peringkat supaya tidak terpengaruh dengan agenda pembangkang untuk melemahkan Umno dengan menggunakan strategi menyerang Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pembangkang menggunakan strategi itu kerana ia boleh menggugat keyakinan anggota Umno terhadap presiden parti sekali gus melemahkan kedudukan presiden.

"Sebab itu, (parti pembangkang) menyerang seorang sahaja iaitu presiden Umno kerana (cara) lemahkan parti ialah (dengan) lemahkan presiden parti. Inilah yang mereka sedang lakukan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Papar di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Papar Datuk Abdul Rahim Ismail danTimbalannya Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar serta Anggota Parlimen Papar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shrlin.   

Ismail Sabri berkata walaupun serangan terhadap Najib cuma berupa fitnah,namun ada dalam kalangan anggota parti Umno terpengaruh sehingga lupa siapa musuh mereka sebenarnya.

"Tindak-tanduk segelintir anggota parti itu menyenangkan tugas pembangkang kerana mereka tidak perlu bekerja keras menyerangNajib kerana anggota Umno sendiri membantu mereka mencapai agenda melemahkan pentadbiran beliau," katanya.

Ismail Sabri berkata anggota Umno perlu kembali memberi keyakinan kepada Najib untuk menerajui kepimpinan negara dan parti kerana Umno dan Barisan Nasional mesti terus berkuasa bagi memastikan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera di negara ini terus terbela.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata beliau akan terus memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri itu terus menikmati arus pembangunan.

Artikel Lain