SUNGAI PETANI: Polis menahan 11 individu memakai baju Bersih 4 pada perhimpunan haram itu di Dataran Zero Kilometer, di sini, Ahad malam. Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kesemua individu yang ditahan itu terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia lingkungan 17 hingga 48 tahun. "Mereka ditahan di sekitar kawasan dataran, enam daripada mereka ditahan pada pukul 9.15 malam, manakala selebihnya ditahan pada pukul 9.30 malam," katanya kepada Bernama, Isnin. Katanya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan telah dibawa ke balai sebelum dilepaskan dengan jaminan polis. Menurutnya polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.-- Bernama