suria

Anggota Polis Hampir Dilanggar Van Dipandu Peserta Bersih

GEORGE TOWN: Seorang peserta perhimpunan haram, Bersih 4 yang memandu laju sebuah van hampir melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas di perhimpunan berkenaan di Jalan Raja Uda, Butterworth.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, anggota polis berkenaan sempat mengelak walaupun van yang dipandu lelaki itu meluru secara tiba-tiba ke arahnya dalam kejadian pukul 10.30 malam Sabtu.

"Setakat ini masih belum ada tangkapan. Polis telah mengenal pasti identiti pemandu van dan pemiliknya serta usaha mengesan giat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas Ops Bersepadu sempena sambutan Ambang Merdeka 2015, di sini awal, Isnin.

Seramai 500 anggota dan pegawai polis terlibat dalam operasi membanteras samseng jalanan dan membendung kegiatan jenayah di sekitar negeri ini.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis Pulau Pinang menerima tujuh laporan polis berhubung perhimpunan haram Bersih 4 yang diadakan di beberapa lokasi di negeri ini sejak Sabtu sehingga semalam.

"Selain itu, polis turut membuka lima lagi kertas siasatan berhubung perhimpunan Bersih 4 di Pulau Pinang," katanya.

Perhimpunan Bersih selama dua hari yang diisytiharkan haram oleh polis dianjurkan oleh kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 yang antara lain menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang bersih. -- Bernama



Bersih, Abdul Rahim Hanafi

Artikel Sebelum

Artikel Lain