suria

Bersih 4: Tujuh Individu Diminta Tampil Di Bukit Aman Pagi Esok

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 4 (Bersih) Maria Chin Abdullah dan enam lagi individu yang dikaitkan dengan perhimpunan itu diminta tampil bagi membantu siasatan di Bukit Aman sebelum 10.30 pagi, Rabu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad, enam lagi adalah Timbalan Pengerusi Bersih Sarajun Huda, Bendahari Bersih Masjaliza Hamzah, Ahli Jawatankuasa Bersih Farhana Halim dan Fadiah Nadwa, Ahli Sekretariat Bersih Mandeep Singh dan aktivis pelajar Adam Adli.

"Mereka perlu memberi penjelasan berhubung perhimpunan itu dan akan disoal siasat oleh pegawai Unit Siasatan Khas Bukit Aman," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Katanya setakat ini tiada sebarang waran tangkap dikeluarkan kepada tujuh individu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai siasatan berkenaan dan hanya menekankan kehadiran kesemua individu itu diperlukan untuk memudahkan siasatan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Zainuddin berkata Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman sedang menyiasat kes berkaitan dua wanita yang memijak gambar Perdana Menteri pada perhimpunan itu.

"Dua individu berkenaan diminta datang segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membantu siasatan," katanya.

Pada Sabtu dan Ahad lepas, perhimpunan Bersih 4 selama dua hari yang diisytiharkan haram oleh polis diadakan, yang antara lain menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang bersih. 

Sebelum ini, polis meminta penganjur Bersih 4 mengubah lokasi perhimpunan yang dirancang di ibu kota termasuk di Dataran Merdeka dan Padang Merbok, berikutan lokasi berkenaan dianggap tidak sesuai.

Perhimpunan Bersih 4.0 diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain