suria

Khaled Nafi Sultan Johor Keluar Kenyataan Burukkan Kerajaan Diterajui Umno

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
NUSAJAYA: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa menafikan kononnya Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkan kerajaan diterajui Umno, yang viral di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata Sultan Ibrahim tidak pernah menulis atau bertitah seperti yang dinyatakan dalam kenyataan itu dan penyebarannya dilihat sebagai satu perbuatan berniat jahat.

"Saya dititahkan oleh Tuanku Sultan untuk menafikan sekeras-kerasnya kesahihan kenyataan tersebut. Saya tegaskan di sini bahawa baginda tidak pernah menulis atau bertitah sedemikian.

"Tindakan penyebaran fitnah itu adalah berniat jahat, semata-mata untuk melagakan hubungan baik yang sedia terjalin antara pihak istana Johor dan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MTHPI), di sini Selasa.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sedang dalam proses mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.

"Kita akan dapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak Penasihat Undang-Undang Negeri berhubung isu ini," kata beliau.

Artikel Sebelum

Operasi Hari Pertama MAB Lancar

Artikel Lain