JOHOR BARU: Seorang peguam yang dikehendaki polis selama lebih tiga tahun ditahan di Singapura. Difahamkan, peguam berkenaan yang menetap di Timur Tengah sejak beberapa tahun lalu pergi ke negara republik untuk melawat saudaranya yang mendapatkan rawatan di hospital. Polis Singapura menahan lelaki dalam lingkungan awal 50-an itu pada kira-kira pukul 10 pagi Rabu selepas satu waran tangkap dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol). Peguam tersebut dijangka diserahkan kepada polis Malaysia tidak lama lagi. Lelaki berkenaan dikehendaki polis berhubung pembabitannya dalam beberapa kes jenayah komersial di Johor, termasuk kes penipuan berjumlah RM660,000.