PUTRAJAYA: Lebih 1,000 peserta dari 130 buah negara kini berhimpun di sini selama tiga hari untuk menghadiri Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 yang membuka tirainya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu. Persidangan dua tahun sekali itu yang bertemakan 'Mengakhiri Kesan Buruk: Rakyat, Integriti, Tindakan' itu merupakan anjuran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Penasihat IACC, Transparency International dan Transparency International Malaysia (TI-M). Sebanyak empat sesi bengkel diadakan secara serentak pada sebelah pagi Rabu melibatkan 14 pembentang kertas kerja. Pada sebelah petang pula, lima lagi sesi bengkel berlangsung serentak melibatkan 21 pembentang kertas kerja. Selain pembentangan kertas kerja, terdapat 17 gerai pameran yang dibuka sempena persidangan IACC Ke-16. Antara agensi yang terlibat dalam pameran ini ialah SPRM, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Petronas dan TI-M. Persidangan ini akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan kira-kira pukul 3 petang nanti.