suria

Polis Siasat Tun M Kerana Hadiri Bersih 4.0

PELABUHAN KLANG: Polis mahu Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan keterangan berhubung kehadirannya dalam perhimpunan Bersih 4.0 pada hujung minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bekas perdana menteri itu bersama ahli politik lain, termasuk Menteri Besar Selangor, Azmin Ali akan dipanggil bagi mendapatkan keterangan mereka.

"Sudah tentu sekarang kita memberi tumpuan kepada penganjur dan individu-individu penting. Kita akan menyiasat kesemua yang terlibat dalam perhimpunan Bersih," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Polis Marin ke-68 di jeti polis marin di sini, Rabu.

Selain siasatan berhubung pembabitan dalam Bersih 4.0, Khalid berkata, polis mahu mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai dakwaan yang dibuat mereka dalam perhimpunan itu.

"Sebagai contoh, Dr Mahathir mendakwa ketua Umno bahagian menerima rasuah. Jadi kita mahu tahu tentang perkara itu, dari mana beliau dapat maklumat berkenaan.

"Kita harap beliau dapat bekerjasama dengan polis nanti," katanya.

Dr Mahathir menghadiri perhimpunan Bersih 4.0 di Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain