PASIR SALAK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu mengingatkan pemimpin Umno sama ada di peringkat cawangan atau bahagian supaya tidak mengamalkan budaya 'burung unta'. Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata dalam erti kata lain, beliau tidak mahu ada kalangan pemimpin yang hanya melepaskan beban kepada orang lain. "Bila ada rusuhan datang, bila orang pergi attack (serang), dia (burung unta) sorokkan kepala dia. "Kalau nak jadi burung, jadi burung betul, nak jadi unta, jadi unta betul, kalau ada masalah jangan disorokkan badan, jangan disorokkan kepala, ini ada masalah musuh datang, sorok kepala kita. "Kita sering melupakan apa yang kita telah dapat tapi kita mengharapkan sesuatu yang baru sebab kita rasa tak pernah puas hati apa yang kita dapat," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pasir Salak 2015, di sini Sabtu.