suria

Pemandu Teksi Bimbang Pendapatan Terjejas

KUALA LUMPUR: Rozelina Mahadi, 58, merupakan seorang pemandu teksi yang telah melalui beberapa tempoh yang amat sukar untuk membesarkan tiga anknya.

Namun sejak 18 tahun lalu, ibu tunggal itu berjaya memenuhi keperluan hariannya berikutan sambutan yang baik terhadap perkhidmatannya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Sekarang, Rozelina bimbang sama ada dia boleh mendapatkan pendapatan yang cukup sebagai pemandu teksi kerana penduduk bandar lebih memilih untuk mengguna perkhidmatan ridesharing seperti Uber dan GrabCar.

"Secara purata saya berbelanja RM65 sehari untuk sewa teksi dan RM21 sehari pada bahan api. Saya kemudian menunggu penumpang di hotspot di bandar seperti Pavilion KL atau Suria KLCC.

"Saya melihat orang berjalan keluar dari pusat membeli-belah. Mereka tidak datang kepada saya, sebaliknya menyentuh skrin telefon mudah alih mereka dan dalam beberapa minit sebuah kereta datang mengambil mereka.

"Saya rasa seperti orang bodoh kerana menunggu lama di luar tempat-tempat ini apabila penumpang yang berpotensi lebih suka perkhidmatan rideshare yang tidak sah di sisi undang-undang," katanya.

Aplikasi ridesharing seperti Uber dan GrabCar membenarkan penumpang untuk menaiki kereta biasa.

Tidak seperti pemandu teksi, pemandu kereta-kereta biasa itu tidak perlu mempunyai lesen memandu awam.

Tambang yang lebih rendah menjadikan mereka sangat popular di kalangan warga kota.

Ia sekaligus menjejaskan pendapatan pemandu teksi yang juga terpaksa menanggung peningkatan kos untuk memiliki, menyewa dan memandu teksi.

Menurut Presiden Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isa Usuluddin, pemandu teksi lain juga berhadapan situasi yang sama.

"Perkhidmatan ridesharing adalah haram kerana syarikat menggunakan kenderaan persendirian untuk pengangkutan awam, dan tidak ada undang-undang untuk mengawal mereka, tidak seperti syarikat-syarikat teksi semasa dan pemandu mereka," katanya.

Ridesharing, GrabCab, Uber

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain