KUALA TERENGGANU: Seorang nenek ditemui mati dengan kesan tetakan di halaman rumahnya di Kampung Surau Haji Daud di sini pagi Isnin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata perbuatan tersebut dipercayai dilakukan cucu mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu. Beliau berkata pihak polis mendapati tiga kesan tetakan pada bahagian belakang tengkuk dan dua tetakan pada bahagian leher wanita berusia 78 tahun itu. "Mangsa ditetak menggunakan parang pendek oleh suspek yang berusia 33 tahun. Suspek yang berasal dari Kemaman kemudiannya melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. Namun suspek dikesan sejam kemudian kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dalam keadaan bingung sementara parang yang dipercayai digunakannya turut ditemui. Wan Abdul Aziz berkata suspek yang juga penggangur dilapor baru seminggu tinggal bersama neneknya bagi membantu memungut buah duku. Motif kejadian sedang disiasat, katanya.