KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan beroperasi di utara Semenanjung bermula Jumaat ini. KTMB berkata ia melibatkan laluan Kamunting-Butterworth-Gurun sebanyak 12 perkhidmatan sehari, enam perkhidmatan bermula dari Stesen Kamunting dan enam dari Stesen Gurun. Perkhidmatan Shuttle KTM Komuter ini akan berhenti di 11 stesen iaitu Kamunting, Bagan Serai, Parit Buntar, Nibong Tebal, Simpang Ampat, Bukit Mertajam, Bukit Tengah, Butterworth, Tasik Gelugor, Sungai Petani, dan Gurun. Ia menggunakan tren Electric Mutiple Unit (EMU) sebanyak tiga gerabak yang tren pertama dijadual berlepas seawal jam 5 pagi dan berakhir pada jam 8 malam dari stesen permulaan iaitu Kamunting dan Gurun dengan kekerapan tiga jam. Menurut kenyataan KTMB, kadar tambangnya adalah antara RM1 hingga RM10.50 bagi perjalanan sehala untuk dewasa. KTM Berhad turut menawarkan tiket konsesi dengan tambang separuh harga untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur antara empat dan 12 tahun. Maklumat lanjut mengenai jadual waktu tren dan tambang boleh diperoleh di laman web KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau di talian 1-300-88-5862. - BERNAMA