suria

Perbualan WhatsApp Dedah Niat Brown Untuk Tumbang PM - NST

Clare Rewcastle-Brown.

KUALA LUMPUR: Akhbar The News Straits Times (NST), dalam laporan muka depan, telah mendedahkan bagaimana kesungguhan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

NST memetik wanita warga Britain berusia 51 tahun itu sebagai berkata dia mungkin telah 'mengubah masa depan sebuah negara' dan dia akan meraikannya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 'dilakukan' (disingkirkan).

Akhbar itu menghasilkan petikan perbualan menerusi WhatsApp membabitkan Rewcastle-Brown, pengurusan kanan Kumpulan Media 'The Edge' iaitu Datuk Tong Kooi Ong dan Ho Kay Tat serta Xavier Andre Justo, dari Mac hingga Jun tahun ini.

Justo, warga Switzerland, kini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Bangkok atas kesalahan memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International (PetroSaudi).

Ia menyebut perbualan tersebut turut mendedahkan keakraban hubungan Rewcastle-Brown dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara, Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

NST berkata ia memperoleh perbualan-perbualan media sosial itu daripada sumber-sumber yang rapat dengan pihak berkuasa Thailand.

Menurut akhbar itu, susulan hukuman penjara ke atas Justo pada 17 Ogos lepas, pendedahan terbaru itu menampakkan belang sebenar Rewcastle-Brown dan kesediaannya melanggar undang-undang beberapa negara dengan membantu bekas pekerja PetroSaudi itu mengumpul dan melakukan pengubahan wang haram berjumlah US$2 juta (RM8.65 juta).

Justo telah mendakwa dia dijanjikan wang sejumlah itu sebagai pertukaran data yang dicuri daripada PetroSaudi.

Maklumat tersebut didakwa telah diubah suai dan kemudian diterbitkan oleh portal Sarawak Report berhubung projek urus niaga antara PetroSaudi dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Justo tidak menerima bayaran untuk data tersebut.

Akhbar itu berkata pasukan penyiasat Thailand bagi kes itu merungkai tahap kesungguhan Rewcastle-Brown bersama rakan subahatnya bagi menggulingkan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak.

NST juga memetik teks WhatsApp dari Ho Kay Tat kepada Rewcastle-Brown pada 19 Mac lepas yang berbunyi: "Artikel anda seolah-olah menggambarkan anda ingin menjatuhkan Perdana Menteri...Kami dituduh bekerjasama dengan anda dengan menggulingkan PM (Perdana Menteri)."

"NST melaporkan bahawa Rewcastle-Brown didakwa menjawab: "Saya yang menulis berita ini, bukan anda...Penuhi komitmen anda dan saya akan pergi tanpa memberitahu sesiapa.

"Akhbar itu menyebut dia (Rewcastle-Brown) kemudian menyebut "mungkin kita telah mengubah hala tuju sebuah negara.

"Pada Jun lepas, mesej wanita itu berbunyi: "Kami merancang satu lagi pendedahan sebelum pilihan raya negeri (Sarawak). Saya akan meraikannya apabila Najib tumbang. Saya sudah mendapat beritanya menerusi orang Anwar. Saya menggunakan Dr Mahathir untuk mendapatkan sumber maklumat lain."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain