Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata satu laporan polis telah dibuat pada 4 September berkaitan 'posting' yang mempunyai sentimen perkauman.
"Posting itu telah disebarkan di laman web seperti Facebook, menggesa orang ramai berkumpul di beberapa 'checkpoint' sekitar bandar sebelum berkumpul di Bukit Bintang.
"Kami memberi amaran terhadap penyebaran 'posting' memanggil orang ramai untuk menyertai perhimpunan tersebut yang mempunyai unsur hasutan dan perkauman," jelas beliau.
"Polis tidak menerima notis daripada penganjur perhimpunan tersebut.
"Kami menganggap perhimpunan ini menyalahi undang-undang jika ia diadakan tanpa mengambil kira undang-undang," katanya.
Perhimpunan 'baju merah' yang dirancang, dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu selama 12 jam pada Hari Malaysia di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, untuk 'membantah perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu.