KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hadir ke Hospital Kuala Lumpur untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas kakitangannya, Timbalan Pendawa Raya Anthony Kevin Morais. Ia ada penampilan pertama Abdul Gani selepas pertukaran mendadak jawatan Peguam Negara baru-baru ini. Beliau tiba kira-kira pukul 2 petang dan dilihat memeluk ahli keluarga Kevin dan beberapa pendakwa raya lain yang berada di bilik mayat tersebut. Pada masa sama, polis dan doktor mula melakukan bedah siasat terhadap mayat yang ditemui dalam tong konkrit yang dibuang dalam sungai di USJ1, Subang Jaya pada awal pagi Rabu. "Ia hari yang menyedihkan. Kita kehilangan seorang pegawai yang bagus," kata Abdul Gani kepada pemberita di luar perkarangan hospital. Beliau menyifatkan Kevin sebagai "lelaki yang baik" dan salah seorang kakitangan yang dipercayainya untuk mengendalikan beberapa kes besar sepanjang perkhidmatannya. Ketika ditanya pemberita pemberita sama ada kerjaya lelaki berusia 55 tahun itu punca beliau dibunuh, bekas peguam negara itu bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi. "Saya tiada sebarang idea. Saya bercuti. Saya sedang menikmati kehidupan saya. Sila tanya pegawai polis. Namun saya doakan yang terbaik untuk keluarganya," kata Abdul Gani sebelum berjalan ke arah keretanya dan berlalu pergi.