JOHOR BAHARU: Keceriaan tujuh orang sahabat yang baru pulang memancing dari Mersing berakhir dengan tragedi apabila seorang maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan di Jambatan Sungai Dohol, Batu 18, Km 63.5, Jalan Johor Baharu-Mersing, pada Rabu. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata ketika kejadian pada pukul 3.35 petang, pacuan empat roda dari arah Mersing terbabas lalu melanggar tembok pembahagi jalan di jambatan itu, berpusing dan menghalang jalan. Pacuan empat roda itu kemudiannya dilanggar sebuah kereta dari arah yang sama, yang tidak sempat mengelak, kata beliau ketika dihubungi di sini. "Akibat dari kemalangan itu, Shahrom Juahir, 33, yang duduk di tempat duduk belakang, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala, manakala yang lain-lain cedera," kata beliau. Rahmat berkata mangsa yang lain dikenali sebagai Khairol Abdul Majid, 36; Muhamad Helmi Taiping, 32; Mohamad Umrah Mohyin, 32; Mohamad Fadli Taiping, 29; Sahrulnizam Saiman, 27; dan Mohamad Izhar Abdul Samal, umur tidak dinyatakan. Mayat Shahrom kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. Kesemua yang cedera turut dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan. Rahmat berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika hujan dan berpunca dari pacuan empat roda yang terbabas. Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Hamlan Ishak berkata seramai sembilan anggota berserta satu jentera dan satu jentera Perkhidmatan Anggota dan Penyelamat Paramedik (EMRS) dikejarkan di tempat kejadian. Operasi bantuan selesai pada 4.20 petang.