Sehubungan itu Ketua Menteri Lim Guan Eng telah mengeluarkan Perintah Suntikan Pencegahan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 yang memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"Ekoran daripada perintah yang saya keluarkan, semua langkah yang perlu akan diambil untuk menghapuskan anjing liar," katanya kepada pemberita Khamis.
Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya tiada sebarang penguatkuasaan dijalankan, beliau akan mengambil tindakan terhadap pegawai terbabit memandangkan keadaannya adalah mencemaskan dan perlu ditangani segera.
Lim berkata kerajaan negeri bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan turut menubuhkan Jawatankuasa Pengawalan Wabak Rabies untuk memulakan operasi pengawalan dan pembasmian anjing.
"Operasi ini melibatkan penangkapan, pemusnahan dan pelupusan semua anjing yang terbiar di negeri ini. Semua anjing peliharaan turut diperintahkan untuk dikurung, divaksin, ditanda serta dilesenkan sehingga wabak ini berakhir," katanya.
Beliau berkata anjing yang berumur tiga bulan dan ke atas perlu diserahkan untuk menjalani suntikan mencegah penyakit tersebut.
Lim turut mengingatkan orang ramai yang digigit atau bersentuhan dengan anjing liar agar mendapat rawatan segera dan melaporkan kepada pihak berkaitan.
Bilik Gerakan Jabatan Veterinar boleh dihubungi di talian 04-5041407.