KUALA LUMPUR: Empat pengarah syarikat perkhidmatan latihan termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM144,950 antara 2013 dan 2014. Khairil Anuar Samsudin, 47, Tey Jinn Woei, 34, Goh Chee Hau dan isterinya Chang Siew Kim yang kedua-duanya berusia 37 tahun, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail. Khairil Anuar, pengarah Syarikat SHE Training and Development Centre, yang menghadapi satu pertuduhan didakwa mengemukakan tuntutan palsu yuran kursus "First Responder Life Support Training and Cardio Pulmunary Resusitation" berjumlah RM23,400 kepada pembantu tadbir Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Mufrad Omar pada 15 Mei 2014. Tey, yang berdepan lima pertuduhan, mengemukakan tuntutan palsu melibatkan lima yuran kursus termasuk "Basic Human Resource Programme" dan "Basic Occupational First Aid and CPR Training" berjumlah RM74,750 kepada Mufrad antara 4 Dis 2013 dan 17 April 2014. Goh pula berdepan dua pertuduhan dengan memberikan tuntutan palsu melibatkan dua yuran kursus "Reaching Out, Inspring Success" berjumlah RM46,800 kepada Mufrad pada 15 dan 22 Mei 2014 manakala isterinya Chang, sebagai pengarah bersama syarikat Think Beyond Sdn Bhd, didakwa bersuhabat dengan Goh atas kesalahan sama. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Jalan Beringin Bukit Damansara, di sini. Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 yang mana lebih tinggia, jika sabit kesalahan. Mahkamah membenarkan Khairil Anuar diikat jamin RM5,000, Tey RM13,000 manakala Goh dan Chang masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. Hakim Allaudeen kemudian menetapkan 8 dan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Heikal Ismail dan Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala peguam Loi Yap Loong dan Nik Ahmed Asraf Nik Othman masing-masing mewakili Chee Hau, Siew Kim dan Khairil Anuar.