suria

Menteri Pendidikan Imbau Kenangan Lawat Sekolah Terakhir Bertugas

Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) bergambar kenangan bersama Datuk Kamarlin Ombi, guru-guru, pelajar dan kakitangan SMK Gadong, Beaufort.
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengimbau sejarah silam apabila beliau melawat SMK Gadong, Beaufort pada Jumaat.

Mahdzir, yang berkhidmat sebagai pengetua sekolah itu antara tahun 1989 dan 1993, terkenangkan zaman dahulu apabila beliau pergi memancing pada hujung minggu, bukan setakat dengan rakan-rakan sekolah sahaja tetapi juga dengan masyarakat setempat.


"Apabila saya ditugaskan di sini sebagai pengetua pada tahun 1989, saya berusia 29 tahun dan bangunan sekolah adalah baru. Saya berkawan dengan penduduk tempatan, dan apa yang saya paling suka adalah masa lapang di hujung minggu di mana kami pergi memancing dekat Weston dan Bintuka.

"Padang sekolah belum siap sepenuhnya kerana kekangan bajet, jadi bersama-sama masyarakat setempat, kami membina padang secara manual, menggali parit dan pergi ke Kuala Penyu untuk mengambil pokok kelapa sebelum menanamnya di sini," kata Mahdzir.

"Hubungan saya dengan penduduk tempatan adalah baik, malah saya juga mengajak mereka ke rumah saya untuk kenduri, dan selama di sini banyak yang saya belajar daripada penduduk di sini," katanya.

Beliau diiringi oleh bekas rakan sekerjanya yang kini menjadi ahli politik, Datuk Kamarlin Ombi, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.


SMK Gadong merupakan sekolah terakhir Mahdzir sebelum meninggalkan profesion itu untuk kerjaya dalam politik pada tahun 1993.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan ibu bapa untuk terlibat dan mempunyai rancangan untuk masa depan anak-anak.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam pertumbuhan, pembangunan dan masa depan kanak-kanak, oleh itu mereka perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan guru-guru dalam komitmen pendidikan untuk memastikan anak-anak berjaya," nasihat beliau.

Mengenai keadaan sekolah yang tidak dijaga dengan baik, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk penyelenggaraan dan menaik taraf.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain