MUAR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua anggota parti supaya terus meniupkan semangat perjuangan demi memperkukuh parti keramat itu yang ditubuhkan sejak 1946. Perdana Menteri berkata, jika anggota Umno leka dan gagal menerapkan perjuangan parti yang luhur demi bangsa dan agama, parti itu akhirnya boleh menjadi lemah. "Yang menguatkan parti adalah roh perjuangan...kita perlu terus memperkukuh dan menguatkan parti. "Umno bukan lahir di tepi jalan, Umno bukan lahir di lereng bukit tetapi lahirnya Umno adalah di Istana Besar Johor pada 1946," katanya ketika berucap merasmikan Bangunan Umno Muar di sini, Ahad. Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim. Najib berkata, perjuangan Umno mencatatkan sejarah terbilang dan gemilang yang meletakkan parti itu pada martabat yang tinggi. Beliau menarik perhatian bahawa kejayaan yang dikecapi rakyat selama ini adalah hasil perjuangan Umno yang sentiasa berusaha memastikan rakyat terus maju seiring dengan pembangunan negara. Katanya, ramai juga yang telah memberitahu beliau bahawa kejayaan mereka adalah hasil perjuangan Umno dan kerajaan sedia ada. "Ini adalah kerana ia perjuangan Umno dan kerana badan (Umno) yang lahir di Istana inilah yang telah berbudi pada negara," katanya. Perdana Menteri berkata, Umno dan kerajaan mahu membawa rakyat ke tahap kehidupan yang lebih tinggi dan atas sebab itulah, mereka perlu memberi sokongan bagi merealisasikan hasrat itu. Najib berkata, setiap pemimpin sentiasa mahu membawa rakyat dan negara ke kedudukan yang lebih baik lagi dan bukannya untuk merosakkan segala-gala yang telah dibina. "Jadilah kapal korek yang berjasa dan bukannya mengorek kapal yang akan tenggelam dan merosakkan semuanya. Apa pun, pemimpin yang bertukar ganti sentiasa membawa segalanya dari takuk sedia ada kepada takuk yang lebih baik lagi," katanya. Dalam pada itu, Najib sekali lagi menegaskan bahawa Umno bukan parti rasis sebaliknya ia percaya kepada konsep berkongsi kuasa untuk memerintah negara. "Kita percaya kepada konsep perkongsian kuasa dan ia masih kuat dipegang oleh Umno...janganlah menghina orang Melayu. Jangan carik-carik maruah Melayu kerana orang Melayu tetap adil pada orang bukan Melayu," katanya. Mengenai Himpunan Melayu Bersatu di Kuala Lumpur pada Rabu lepas, Najib berkata, himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan dan beliau berpendapat tiada salahnya ia diadakan. - Bernama