KUANTAN: Seorang anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Honda VFR yang ditunggangnya terbabas dalam kemalangan di satu selekoh di Kilometer 22.2 Jalan Besar Ringlet-Sungai Koyan dekat Cameron Highlands pada pagi Ahad. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohd Rizal Abdullah berkata, kemalangan berlaku pukul 9.30 pagi ketika mangsa Koperal Syed Ismail Syed Abd Rahman, 55, dari Taman Kempadang Makmur di sini sedang mengikuti Program Tangan Bersalaman Polis Kontijen Pahang 2015. "Mangsa bersama konvoi ketika itu dari arah Cameron Highlands ke Raub dan ketika tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan semasa mengambil selekoh menyebabkannya terbabas. "Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari tadi akibat patah kedua belah tulang rusuknya," katanya ketika dihubungi pada Ahad. Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di kawasan selekoh namun permukaan jalan di situ adalah rata dengan garisan tengah berkembar. Konvoi program itu ke beberapa daerah di negeri ini bermula sejak Khamis lepas dengan diketuai oleh Ketua Polis negeri Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani. Program yang dijadual berakhir pada Isnin bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara polis dengan masyarakat dengan disertai kira-kira 80 anggota dan pegawai polis.