Beliau menerima surat pelantikan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada satu majlis di kementerian di sini pada Isnin.
Mohd Khusairi, 54, yang juga Ketua Penerangan Umno Perak menggantikan penyandang jawatan itu Datuk Seri Azalina Othman Said, yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lepas.
Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Mohd Khusairi berkata beliau mahu menggerakkan Finas ke satu tahap lebih tinggi, merakyatkan filem tempatan serta meningkatkan kebajikan di kalangan pekerja berkaitan industri perfileman.
Mengenai kebajikan pekerja filem, Mohd Khusairi berkata satu kaedah terbaik perlu dilaksanakan bagi memastikan kira-kira 30,000 pekerja perfileman, yang majoritinya tidak bergaji tetap mendapat pembelaan yang wajar.
"Ketika ini kebanyakan syarikat penerbitan tidak mengamalkan sistem gaji minimum, dan ini merupakan antara perkara yang akan saya lihat semula," katanya.