GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng menyelar pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save Our Strays (SOS) Penang dan NGO luar negara Mission Rabies yang mendakwa pihaknya tidak memberi sebarang respons berikutan usaha membasmi wabak penyakit anjing gila atau rabies. Menyifatkan perkara itu sebagai tidak benar, Guan Eng berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan bersama pengasas SOS, April Sham pada Ahad lepas, selain mengadakan persidangan tele dengan wakil Perkhidmatan Veterinari Sedunia (WVS) bagi membincangkan penyelesaian terbaik bagi mengatasi wabak itu. "Saya kesal dengan kenyataan Mission Rabies kerana mereka merupakan badan antarabangsa tidak harus mengeluarkan kenyataan tidak benar," katanya pada sidang media di sini Selasa. Langkah membunuh anjing-anjing di negeri ini diumumkan ketua menteri pada Khamis lepas bagi mengawal merebaknya rabies, bagaimanapun ia dibantah oleh beberapa NGO yang turut berhimpun di depan pejabat kerajaan negeri di KOMTAR pada Jumaat lalu. Semalam, sebuah NGO Stop Killing, Start Vaccinating menyeru kerajaan negeri supaya menghentikan aktiviti pelupusan anjing jalanan di sekitar Pulau Pinang yang dianggap kejam. Guan Eng berkata kerajaan negeri terbuka untuk mendengar cadangan daripada pelbagai pihak dalam usaha menangani wabak itu, namun ia perlu mendapat nasihat pakar-pakar dalam bidang berkenaan. "Kes ini bukanlah isu politik yang akan menaikkan populariti saya, tetapi ia merupakan kes yang perlu ditangani dengan lebih serius kerana ia melibatkan nyawa manusia. "Janganlah sekadar memberi omongan kosong sahaja sebaliknya kemukakan fakta yang sahih dari pakar-pakar yang terlatih dan diiktiraf supaya kerajaan negeri dapat mengambil tindakan agar kesihatan rakyat lebih terjamin," katanya. Guan Eng berharap agar NGO terbabit tidak terlalu emosi kerana kerajaan negeri hanya menjalankan tanggungjawab demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan orang awam. Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia Datuk Mohamed Radzuan Malek berkata operasi pembasmian anjing liar adalah cara yang paling berkesan untuk mengawal penyakit anjing gila. "Sekiranya anjing yang berkeliaran ini tidak dikawal, dilupuskan, dihapuskan maka penyakit rabies tidak akan dapat dikawal selama-lamanya ia akan bergerak dan merebak. Yang lebih penting lagi sekiranya penyakit ini merebak kepada anjing yang mempunyai pemilik, risiko terkena jangkitan itu sangat tinggi," katanya.