suria

Tiada Rakyat Malaysia Dijangkiti Rabies Setakat Ini

Datuk Seri Dr S. Subramaniam
PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia yang didapati positif jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata terdapat 12 individu dengan sembilan daripadanya di Perlis, Pulau Pinang (dua) dan Kedah (satu) yang sehingga kini telah diberi rawatan vaksin akibat digigit anjing yang positif rabies dengan andaian mereka berpotensi untuk dijangkiti.

Katanya mereka akan dipantau secara berterusan mengikut protokol Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi melihat jika terdapat tanda-tanda dijangkiti memandangkan tiada pengesahan klinikal yang boleh dilakukan bagi mengenal pasti penyakit itu.

"Pengesahan secara klinikal hanya boleh dibuat apabila seseorang itu telah meninggal dunia dengan memeriksa sampel otak.

"Buat masa ini 12 individu ini akan diletakkan di hospital selama dua hingga tiga minggu dan pemantauan berterusan akan dilakukan sehingga setahun," katanya pada sidang media di sini Selasa.

Dr Subramaniam berkata simptom awal jangkitan rabies terhadap manusia adalah sakit atau kebas pada kesan gigitan anjing dan seterusnya boleh mengalami kelumpuhan secara berperingkat sehingga menyebabkan kematian.

"Pesakit juga akan takut pada air (hidrofobia) kerana tidak dapat menelan makanan dan air akibat kelumpuhan pada otot dan air liur akan mengalir keluar seperti anjing," katanya.

Menurutnya ketika ini 14 hospital kerajaan di tiga negeri terbabit telah dibekalkan dengan vaksin yang mencukupi bagi merawat jangkitan rabies pada manusia.

Beliau juga menasihati orang ramai terutama di tiga negeri terbabit agar menjauhi anjing liar dan segera mendapatkan rawatan jika digigit atau terkena air liur anjing.

"Bagi yang memelihara anjing pula diminta untuk mengikut nasihat yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar," katanya.

Rabies adalah sejenis penyakit zoonosis yang disebabkan Lyssavirus yang boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan oleh anjing yang dijangkiti rabies dan juga melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti rabies.

Dr Subramaniam berkata jangkitan rabies pada manusia kali terakhir direkodkan di negara ini pada 1999, manakala jangkitan pada anjing adalah pada 2009 dan WHO mengisytiharkan Malaysia bebas rabies pada 2012.

Artikel Lain