ALOR SETAR: Seorang anggota Imigresen cedera di tangan selepas digigit oleh pemandu cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putera, Durian Burung pada Selasa. Menurut Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim, kejadian berlaku 1.30 petang ketika sebuah kereta membawa seorang warga tempatan dan seorang lelaki serta dua wanita Thailand melalui pemeriksaan di ICQS itu. Kejadian bermula apabila pemandu kereta warga tempatan itu enggan menyerahkan pasport milik tiga warga Thailand itu kepada anggota Imigresen dengan alasan kononnya ia telah dicop, katanya. Curiga dengan alasan itu katanya, anggota Imigresen terbabit tetap mengarahkan pasport warga Thailand itu diserahkan tetapi arahan tersebut diengkari malah pemandu kereta warga tempatan itu cuba memandu kenderaannya ke arah Thailand tetapi berjaya dihalang. "Pemandu masih enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif sehingga menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergelutan sehingga menyebabkan anggota Imigresen itu digigit hingga cedera," katanya dalam kenyataan di sini. Mohamad Yusri berkata, anggota Imigresen menahan pemandu warga tempatan itu serta tiga warga Thailand dan hasil siasatan mendapati warga negara jiran telah memasuki Malaysia secara haram melalui jalan tikus di Sungai Golok, Kelantan. Lelaki warga tempatan itu ditahan dan disiasat kerana melindungi warga asing, manakala warga Thailand terbabit disiasat kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Pihak Imigresen turut menyita kenderaan itu yang berdaftar di Seri Kembangan, katanya. Semua ditahan di lokap Imigresen, ICQS Kota Putera untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.