PETALING JAYA: PAS memutuskan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang baru dibentuk oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada Selasa. Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata parti itu hanya akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR. “PAS menghormati hak mana-mana pihak untuk merangka agenda politik tersendiri. Walaubagaimanapun PAS tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa malam. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan sebagai platform baru gabungan politik parti pembangkang menggantikan Pakatan Rakyat. Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berharap PAS akan turut serta dalam pakatan baru itu. Kenyataan terbaru setiausaha agung PAS itu bagaimanapun dengan sendirinya menjawab undangan yang dibuat oleh Wan Azizah.