KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan semakin sesak dengan pertambahan kenderaan malam Rabu berikutan ramai yang pulang ke destinasi masing-masing sempena Hari Raya Aidiladha. Menurut jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Hotline, setakat 9.30 malam ini aliran trafik ke utara bergerak perlahan dari Juru ke Sungai Petani Selatan, Terowong Menora ke Sungai Perak dan Tapah ke Gopeng. "Bagi arah selatan pula, aliran trafik perlahan dari Jasin menuju ke Tangkak berikutan kemalangan di KM177 dan Seremban ke Pedas Linggi," katanya ketika dihubungi Bernama malam Rabu. Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pertambahan kenderaan turut berlaku di Plaza Tol Gombak ke Pantai Timur, Genting Sempah ke Lentang sebelum susur keluar Plaza Tol Bentong. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twittercom/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA