KUALA LUMPUR: Mayat mendiang Anthony Kevin Morais masih berada di Institut Perubatan Forensik Nasional di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan belum dituntut ahli keluarganya. Sehingga 9.30 malam Rabu, cubaan media menemu bual ahli keluarga mendiang di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi tidak dapat mengesahkan bilakah mayat mendiang akan dituntut. Malah adik mendiang, Datuk Richard Morais enggan memberi sebarang komen berhubung urusan tuntutan itu apabila didekati wartawan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin ketika dihubungi menyatakan polis telah membenarkan mayat Morais dituntut dan menyerahkan urusan itu kepada keluarganya dan HKL untuk proses lanjut. "Mayat Kevin tu memang polis dah serahkan kepada keluarganya untuk urusan tuntutan mayat. Kamu (pihak media) tanyalah HKL kenapa keluarga mereka belum tuntut mayat hari ini," katanya. Mayat Morais, 55, Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini Rabu lepas. Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September lalu dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q. Setakat ini, 11 suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan. - BERNAMA