KUALA LUMPUR: Plus Malaysia Berhad (PLUS) hari ini mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan menggesa orang ramai mematuhinya bagi mengelakkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan semasa cuti perayaan Aidiladha. Menurut kenyataan PLUS hari ini, trafik di Lebuhraya Utara-Selatan dijangka bertambah bersempena perayaan Aidiladha yang disambut Khamis ini dan mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan antara 23 hingga 27 September dinasihat agar mematuhi TTA. Mereka dari Lembah Klang dan menuju ke bandar raya utama antara 23 dan 27 September dinasihat untuk memulakan perjalanan seperti jadual berikut: * Antara 6 pagi dan 8 pagi untuk ke Kangar, Alor Setar, Johor Baharu dan Kota Tinggi; * Sebelum tengah hari untuk ke Kepala Batas, Butterworth, George Town, Bayan Lepas, Batu Pahat, Segamat dan Muar; * Antara tengah hari dan 2 petang untuk ke Taiping, Kuala Kangsar, Gerik, Jasin dan Melaka; * Antara 2 petang dan 6 petang untuk ke Ipoh dan Alor Gajah; * Selepas 6 petang untuk ke Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut, Tanjung Malim, Kuala Pilah, Port Dickson dan Seremban. Sementara itu cadangan TTA bagi perjalanan dari bandar raya utama menuju ke Lembah Klang adalah seperti berikut: * Antara 6 pagi dan 8 pagi untuk ke Kuala Kangsar, Alor Setar, Johor Baharu dan Kota Tinggi; * Antara tengah hari dan 2 petang untuk ke Kepala Batas, Butterworth, George Town, Bayan Lepas, Ipoh, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Alor Gajah; * Selepas 6 petang untuk ke Jasin, Melaka, Kuala Pilah, Port Dickson, Seremban, Taiping, Kuala Kangsar, Gerik, Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut dan Tanjung Malim. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini aliran trafik daripada PLUS di talian bebas tol PLUSLine 1800-88-0000, laman twitter PLUSTraffik atau memuat turun aplikasi PLUS Mobile menerusi telefon pintar. TTA ialah jadual perjalanan berperingkat dicadangkan PLUS bertujuan mengelakkan orang ramai terperangkap dalam kesesakan di laluan utama, kawasan rehat dan rawat dan plaza tol, yang sebelum ini terbukti berjaya melancarkan aliran trafik semasa waktu puncak.