suria

Cabar Penahanan, Khairuddin Sudah Bersedia - Peguam

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bersedia daripada segi mental dan fizikal apabila memutuskan untuk mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Peguamnya, Mohd Akmal Afiq berkata, anak guamnya itu sendiri meminta supaya permohonan semakan semula difailkan di mahkamah seawalnya pada minggu depan.

Menurut beliau, Khairuddin kali terakhir ditemui pada Khamis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bersama, isterinya, Datin Seri Umie Aida Rahmat.

"Beliau sihat, kuat dari segi mental dan fizikal, kuat semangat, tak ada kecederaan.

"Isteri beliau juga nampak sihat dan kuat dalaman dan luaran," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Tambah Mohd Akmal lagi, pihaknya sudah bersedia menyiapkan dokumen bagi mengemukakan permohonan untuk mencabar keputusan penahanan Khairuddin.

"Ia atas permintaannya sendiri. Kita sedang buat persediaan, mungkin sehari dua lagi...Isnin atau Selasa ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penahanan Khairuddin, beliau berkata, polis mempunyai kuasa berbuat demikian atas dasar percaya beliau melakukan kesalahan.

"Tetapi Kharuddin juga ada hak untuk mencabar atas dasar memikirkan bahawa penahanannya di bawah Sosma adalah tidak berasas dan tiada alasan kukuh.

"Bagaimana untuk mengaitkan dirinya dengan kesalahan mensabotaj negara sedangkan ia hanya laporan polis terhadap seorang individu dan syarikat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bahawa pihak polis yang telah memberikan kerjasama kepada tujuh barisan peguam yang mengendalikan kes ini, termasuklah dirinya.

"Kita sedang tunggu bila perjumpaan seterusnya apabila polis menghubungi kita," katanya.

Khairuddin, bekas pemimpin Umno ditahan semula di bawah Sosma (Seksyen 124k dan 124L) pada petang Rabu, beberapa minit selepas dibebaskan daripada tahanan reman.

Beliau ditahan pada Jumaat dan direman enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana dipercayai mengancam demokrasi berparlimen.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain