KOTA TINGGI: Mayat seorang wanita terapung dengan keadaan perutnya kembung dijumpai orang awam di hujung Sungai Kampung Makam, dekat sini, pagi Sabtu. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata, mangsa yang dipercayai lemas itu, ditemui orang awam dalam keadaan berpakaian lengkap pada pukul 10.35 pagi. Mangsa dikenali sebagai Khadijah Abu Bakar, 49, beralamat di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, di sini, kata beliau dalam satu kenyataan di sini. "Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas," kata beliau. Rahmat berkata, identiti mangsa disahkan oleh suaminya, Abdul Asid Etae, warganegara Thailand. "Pengecaman dibuat berdasarkan pakaian, seutas rantai kaki serta skaf rambut warna biru yang dipakai mangsa," kata beliau. Hasil siasatan juga mendapati mangsa ada sejarah dan rekod sakit mental. Kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut, kata Rahmat.