KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Okt bagi memutuskan permohonan bantahan awal yang dikemukakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan empat yang lain untuk membatalkan saman berhubung pembentangan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pada sidang Parlimen. Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Abdul Hadi selaku defendan dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan. Shamsul mewakili Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah, yang turut dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman itu. Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Siti Kasim mewakili empat individu yang mengemukakan saman itu - Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin. Shamsul ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memfailkan bantahan awal itu dengan alasan pemohon sepatutnya memfailkan permohonan itu melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula. "Ini kerana mereka (empat pemohon) itu mencabar berhubung proses membuat keputusan oleh pihak berkuasa awam seperti Parlimen. Jadi, menyerang proses membuat keputusan perlu melalui semakan kehakiman di bawah Perintah 49 Perintah Tetap Parlimen," kata Shamsul. Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan Abdul Hadi untuk membatalkan saman keempat-empat individu itu dengan alasan mereka (pemohon) tidak mempunyai hak untuk menghalang cadangan, pembentangan dan perbahasan mengenai perkara berkenaan. Abdul Hadi, yang memfailkan permohonan itu pada 2 Julai lepas turut mendakwa saman pemula yang difailkan keempat-empat pemohon itu juga tidak mempunyai merit dan sebagai anggota Dewan Rakyat, beliau mempunyai hak keistimewaan serta imuniti. Hari ini juga ditetapkan untuk mendengar permohonan injunksi keempat-empat individu itu bagi menghalang Hadi dan empat yang lain daripada membentangkan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pada sesi sidang Parlimen. Keempat-empat individu itu yang memfailkan saman pemula pada 12 Jun lepas turut memohon satu deklarasi bahawa pembentangan mengenai pindaan itu merupakan satu kemungkiran terma-terma Buku Jingga Pakatan Rakyat oleh Abdul Hadi.