KUCHING: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menafikan khabar angin bahawa operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching masih ditutup akibat jerebu. Pengurus Kanan LTAB Kuching Mohd Nadzim Hashim menegaskan hanya landasan di lapangan terbang tersebut ditutup bagi tempoh dua jam bermula 7 pagi tadi namun telah dibuka semula pada 9.10 pagi. "Saya dapat banyak pertanyaan dan panggilan mengenai perkara tersebut. Khabar angin itu tidak benar, seperti yang diketahui umum hanya landasan di LTAB Kuching ditutup kerana jarak ketampakan berada pada jarak 300 meter 7 pagi tadi. "Bagi mengelak sebarang penyebaran maklumat tidak benar dan tepat, orang ramai boleh menghubungi MAHB di talian 082-454 242 bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi di lapangan terbang ini," katanya. Mohd Nadzim berkata setakat 1.30 tengah hari, jarak ketampakan di LTAB kembali menurun kepada 1,400 meter berbanding 2,000 meter dicatatkan 11 pagi tadi.