suria

Jerebu Dijangka Berkurangan Selasa - Mosti

Menara Berkembar Kuala Lumpur tidak kelihatan dari Taman Tasik Titiwangsa akibat jerebu yang melanda Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di negara ini dijangka berkurangan petang Selasa susulan perubahan arah angin selepas Taufan Dujuan diramal melanda Taiwan dan bahagian timur China. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau berkata, Malaysia akan kembali mengalami angin dan cuaca lazim musim antara monsun dengan angin lemah pelbagai hala dan cuaca lebih lembap terutamanya bagi negeri-negeri di pantai barat Semenanjung. 

Katanya, keadaan jerebu teruk di beberapa tempat terutamanya di kawasan tengah dan selatan Semenanjung, dan barat Sarawak beberapa hari lepas adalah disebabkan oleh tiupan angin dari selatan dan barat daya. 

"Arah angin tersebut telah menyebabkan negara mengalami jerebu rentas sempadan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya negara masih berisiko untuk kembali dilanda jerebu rentas sempadan jika arah angin adalah dari selatan dan barat daya.

"Negara kita bernasib baik kerana arah angin dari kebakaran hutan di Gunung Lokon di Provinsi Sulawesi Utara, Indonesia tidak menghala ke rantau kita dan kedudukannya juga jauh," katanya. 

Dalam pada itu, Madius menegaskan Jabatan Meteorologi Malaysia bertanggungjawab untuk memantau elemen cuaca termasuk jarak ketampakan melalui stesen-stesen meteorologi seluruh negara khasnya untuk operasi penerbangan dan tidak memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar.

Madius Tangau, jerebu

Artikel Lain