suria

Dua Laporan Polis Dibuat Berhubung Dakwaan Palsu Raja Muda Selangor Murtad

Tengku Amir Shah.

KLANG: Sebanyak dua laporan polis dibuat di balai polis Seksyen 6 di Shah Alam berhubung berita palsu yang mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah murtad dan memeluk agama katolik.

Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan setiausaha sulit putera Sultan Selangor, Hanafisah Jais pada pukul 4 petang Isnin.

Menurut dua laporan berkenaan, kedua-dua pengadu berkata, mereka menjumpai status yang dikeluarkan oleh seorang pengguna menggunakan nama samaran "Rahim Tambychik", semasa menggunakan laman sosial itu Istana Mestika di Seksyen 7, Shah Alam pada kira-kira pukul 8 pagi Jumaat lalu.

Menurut status itu: "Berita pertukaran agama oleh Putera Sultan Selangor, Tengku Amer Shah, ke Katholokisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh negara dan dunia. Kesedihan ini ditambah dengan dua tragedi timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope Vatican City akan berhasil."

Mereka berkata, status berkenaan "sama sekali tidak berasas, tidak benar dan fitnah."

"Oleh itu, polis akan mengambil tindakan terhadap pengguna Facebook yang menggunakan nama "Rahim Tambychik" bagi mengelakkan sebarang tanggapan negatif terhadap Raja Muda Selangor dan juga keluarga diraja Selangor.

"Dipercayai tindakan ini akan menghentikan segala bentuk salah guna atau tuduhan liar yang dilemparkan kepada Raja Muda Selangor, dan juga Sultan Selangor," kata mereka.

Siasatan polis menunjukkan bahawa dakwaan itu berdasarkan sebuah artikel lama yang palsu diterbitkan secara dalam talian sebelum ini.

Ia kemudiannya diikuti amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 25 Julai lalu kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin itu.

Difahamkan, halaman Facebook di atas nama "Rahim Tambychik" tidak lagi boleh dicari dan polis percaya ia telah dipadamkan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Tengku Amir Shah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain