KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat tempatan, BookDoc, berjaya menghasilkan aplikasi telefon pintar yang mentransformasi kaedah rakyat Malaysia mendapatkan rundingan doktor. Pengasas BookDoc, Datuk Chevy Beh berkata, aplikasi itu yang bakal dilancarkan awal bulan depan, akan menyepadukan penjagaan kesihatan ke dalam platform e-dagang selain memberi kemudahan kepada orang ramai, doktor serta majikan. "Aplikasi itu membolehkan para doktor menyenaraikan amalan mereka secara dalam talian, mengoptimumkan jadual temu janji dan mengurangkan kegagalan temujanji menerusi peringatan untuk pesakit. "Ia juga membolehkan penjadualan temu janji dalam tempoh 24 jam, seminggu malah selepas waktu rundingan. "Justeru, amalan mendaftar di kaunter klinik akan berakhir dan menjadi sesuatu yang sudah lapuk. Aplikasi ini boleh dimuatturun secara percuma oleh telefon bimbit mahupun komputer," katanya dalam satu kenyataan, Selasa. Beh menyifatkan kehadiran aplikasi itu tepat pada masanya bagi memanfaatkan landskap penjagaan kesihatan di Asia yang pantas berubah dan berpotensi menjadi sebahagian ekosistem sektor berkenaan di rantau ini. "Ia seterusnya akan dilancarkan di Singapura, Filipina, Thailand dan Hong Kong dalam masa enam bulan selepas Malaysia. "Aplikasi ini pada awalnya bertujuan memudahkan pekerja pelanggan korporat berhubungan dengan klinik panel. Ia juga dapat membantu hospital memperbaiki produktiviti pekerjanya, mengoptimumkan kos manfaat kesihatan dan pengurusan kakitangan yang lebih cekap," katanya.-- Bernama