suria

APMM Lepaskan Tiga Das Tembakan

SANDAKAN: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melepaskan tiga das tembakan amaran sebelum menahan sebuah bot nelayan asing yang disyaki menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Billean di Beluran, Pada Isnin.

Bot nelayan tersebut ditahan bersama seorang tekong dan 32 awak-awak pada pukul 8.50 pagi oleh kapal ronda APMM Daerah Maritim Sandakan.

Ketua Penguatkuasa Maritim DM 17 Kapt Maritim A. Razak Abdul Rahman berkata ketika dikesan, bot nelayan itu sedang bersauh dan beberapa awak-awak berada di dalam air sedang leka melakukan sesuatu.

Katanya, mereka yang di dalam bot itu kemudian bertindak menarik sauh dan memecut meninggalkan awak-awak yang berada di dalam air untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasa APMM.

"Kapal ronda APMM bertindak pantas mengejar dan mengarahkan bot tersebut berhenti untuk diperiksa namun tidak diendahkan dan sebaliknya beberapa kali melanggar kapal ronda APMM sehingga mengalami kerosakan.

Anggota APMM telah melepaskan tiga das tembakan amaran ke arah laut dan serta-merta bot tersebut berhenti, katanya di sini, Selasa.

Menurutnya tekong dan awak-awak yang ditahan berusia 23 hingga 59 tahun, dan kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya mereka disyaki menceroboh perairan Malaysia dengan tujuan menangkap sotong menggunakan pelampung yang diperbuat daripada buluh.

Beliau berkata turut dirampas hasil tangkapan seberat dua tan dan kesalahan dilakukan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963.

A. Razak berkata pihaknya akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan perairan negara terjamin.

Beliau turut meminta komuniti maritim memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi DM 17 di talian 089-229504 atau talian Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999.

APMM, Sandakan, Nelayan

Artikel Lain