KUALA LUMPUR: Seorang bekas penceramah bebas yang didakwa memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, akan mengemukakan surat representasi ke Jabatan Peguam Negara bagi memohon pertuduhan terhadapnya dikaji semula. Peguam Wan Mohd Ashraf Wan Abu Bakar yang mewakili Zulqarnian Ghaz Ab Ghani, 31, berkata demikian ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim. Wan Mohd Ashraf kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkannya mengemukakan representasi tersebut. Mahkamah menetapkan 1 Okt ini untuk sebutan semula kes. Pada 4 Ogos lalu, Zulqarnian didakwa di Mahkamah Majistret Ampang terhadap pertuduhan memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan senjata api dengan niat untuk meneruskan perjuangan agama bagi menggugut orang awam di negara itu. Zulqarnian didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 April 2014 dan 28 Ogos 2014. Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau sehingga 30 tahun atau denda dan rampasan harta yang digunakan bagi tujuan keganasan tersebut jika sabit kesalahan. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan. Kes tersebut kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini. Namun masih tiada pengakuan direkodkan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal.