suria

Khir Toyo Dipenjara Setahun

Dr Mohamad Khir Toyo.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusi panel lima hakim itu membuat keputusan tersebut atas alasan Dr Khir melakukan satu jenayah dalam pengetahuannya sebagai seorang penjawat awam.

Panel membuat keputusan itu selepas memutuskan hukuman penjara adalah paling sesuai dalam kes berkenaan manakala hukuman khidmat kerja masyarakat adalah tidak memadai.

Dr Mohamad Khir kelihatan tenang ketika hukuman itu dibacakan.

Terdahulu, peguam Dr Mohamad Khir iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta mahkamah tidak memenjarakan anak guamnya tetapi sama ada mengenakan denda atau memerintahkan dia menjalani program khidmat masyarakat.

Pada 22 September lalu, panel itu mengekalkan sabitan bersalah terhadap Dr Mohamad Khir selepas menolak rayuannya.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan melucut hak hartanah itu dan diserahkan kepada kerajaan tertakluk kepada caj oleh pihak bank.

Dr Mohamad Khir sebelum ini dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013.

Melalui penghakiman dibacakan Kok Wha pada 22 September lalu, panel mencapai keputusan itu berdasarkan beberapa alasan antaranya pertuduhan yang dibuat ke atas Dr Mohamad Khir tidak mempunyai sebarang kecacatan dan beliau selaku menteri besar, adalah seorang penjawat awam ketika kesalahan itu dilakukan.

Dr Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 50 suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan menegaskan yang Dr Mohamad Khir dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukumannya itu. 



Khir Toyo

Artikel Berikut

Artikel Lain