KUALA LUMPUR: Indonesia percaya kebakaran hutan di negaranya tidak tersenarai antara agenda pada Mesyuarat Menteri Asean Berkaitan Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-10 minggu ini. Ketua Polis Indonesia, Jeneral Badrodin Haiti berkata, beliau percaya masalah berterusan yang dihadapi negara itu tidak akan diketengahkan pada mesyuarat itu kerana ia bukan jenayah rentas sempadan, tetapi isu yang boleh ditangani di platform lain. "Buat masa ini kita sedang mengendalikan kira-kira 210 kes kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan. "Semua kes berkaitan sedang disiasat, termasuk melibatkan beberapa syarikat dan kira-kira 40 kes akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita ketika menghadiri mesyuarat itu pada Selasa. Ditanya berkaitan kumpulan sukarelawan Singapura yang berhasrat menyaman syarikat yang terlibat memulakan kebakaran di Indonesia, Badrodin berkata, tiada tindakan diambil pihaknya setakat ini berhubung perkara itu. "Koordinasi berkaitan perkara itu akan dikendalikan Kementerian Luar Negara. "Perlu dimaklumkan di sini, ada syarikat walaupun menggunakan nama Indonesia tetapi operasinya diuruskan pelabur asing," katanya. Mengulas kenyataan Badrodin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya berkata, beliau menghargai komitmen kerajaan Indonesia untuk menangani masalah itu. "Diharap dengan pendekatan yang lebih komprehensif, jerebu bukannya masalah lagi tahun depan. "Saya yakin Presiden Indonesia dapat menangani masalah ini," katanya pada sidang media AMMTC di sini, Selasa.