BUTTERWORTH: Empat perompak yang memakai jaket hitam dan menutup muka mereka dengan helmet berjaya melarikan diri bersama beberapa dulang barang kemas dalam insiden rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Medan Kurau 1, Taman Chai Leng di sini. Difahamkan, perompak tersebut tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari Selasa dengan menggunakan dua motosikal. Tiga daripada suspek meluru masuk ke dalam kedai emas tersebut. Dua suspek bersenjatakan tukul besi. Mereka memecah panel kaca untuk mengambil barang kemas tersebut manakala seorang lagi bersenjatakan sepucuk pistol membantu dua suspek itu dari dalam kedai tersebut. Suspek keempat menunggu di luar kedai emas terbabit dengan dua senjata di tangannya.