suria

Edar Dadah: Dua Beranak Warga Iran Dijatuhi Hukuman Mati

SHAH ALAM: Dua beranak warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu selepas didapati bersalah mengedar 2.5 kilogram dadah jenis methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati yang pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan membabitkan kedua-dua wanita itu.

Sejurus mahkamah membuat keputusan itu, Tayebeh Abbasali Najafi, 36, dilihat memujuk ibunya Parvin Yousef Ilanlou, 57, yang menangis teresak-esak dengan hukuman berkenaan.

Tayebeh didakwa mengedar 1297.5 gram methamphetamine di kawasan pintu keluar Pemeriksaan Kastam, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada 25 Sept 2012.

Parvin pula didakwa mengedar 1245.6 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua beranak itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seramai lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Selangor Siti Noorbaya Jamil sementara dua beranak itu diwakili peguam Muhammad Zaim Azfar Jalaludin.

Iran, Dadah

Artikel Berikut

Artikel Lain