NEW YORK: Ekonomi dan mata wang Malaysia mengalami 'ribut' ekoran wujudnya aliran keluar dana daripada pasaran baharu muncul, kejatuhan harga minyak mentah dan kelembapan ekonomi China, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar. Namun katanya kedudukan Malaysia lebih baik berbanding krisis kewangan Asia yang berlaku pada tahun 1990an. "Ramai orang bertanya sama ada Malaysia akan mengalami situasi yang sama pada tahun 1997, 1998. "Keadaan sangat berbeza antara dulu dan sekarang. Keadaan sekarang lebih baik, fundamental negara begitu kukuh sekarang," katanya kepada Reuters ketika ditemui di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini. Katanya lagi, ekonomi Malaysia terjejas kerana wujud pasaran baharu ketika berlakunya aliran keluar modal. "Malaysia seolah-olah dilanda 'ribut'," katanya. Bagaimanapun katanya, jika dilihat kepada data-data terkini ia memperlihatkan keadaan yang lebih baik.