KUALA LUMPUR: Kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat berikutan keadaan jerebu meningkat kepada 18 setakat 9 pagi Rabu berbanding 11 kawasan pada 7 malam Selasa. Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan yang mencatatkan bacaan IPU paling tinggi adalah di Bukit Rambai, Melaka iaitu 150, diikuti Port Dickson di Negeri Sembilan (142). Beberapa kawasan di Johor yang mencatatkan tahap IPU tidak sihat adalah Kota Tinggi dengan bacaan 106, Larkin Lama (120), Muar (119) dan Pasir Gudang (131). Bandaraya Melaka pula mencatat bacaan 141, manakala dua lagi kawasan di Negeri Sembilan turut mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Nilai (115) dan Seremban (117). Di Pahang, bacaan IPU di kawasan Indera Mahkota dan Balok Baru, Kuantan pula masing-masing 105 dan 135, manakala di Jerantut (102). Di Selangor, kawasan Banting mencatatkan bacaan 125, Pelabuhan Klang (102) dan Shah Alam (105), manakala di Terengganu, kawasan Kemaman dan Paka masing-masing mencatatkan bacaan 126 dan 112. Sementara itu, Putrajaya turut mencatatkan tahap IPU tidak sihat dengan bacaan 111. IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa.