PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah tidak melakukan sebarang kesalahan dengan menghadiri sidang meja bulat pembentukan pakatan pembangkang baharu, kata Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas. Megat Najmuddin berkata beliau "tidak fikir ia sebagai satu masalah" apabila Saifuddin hadir ke program berkenaan melainkan beliau bertindak mengkritik Umno. "Kalau itu berlaku, ia soal lain. Jika beliau sekadar hadir tak mengapa. Kita juga nak tahu apa yang pembangkang kata dan lakukan," kata Megat Najmuddin seperti yang dilaporkan sebuah portal berita. Sidang meja bulat bagi membentuk platform baharu pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Amanah yang diadakan pada 22 September lalu dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden penaja Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu. Saifuddin hadir pada majlis berkenaan wakili Akademi Belia yang dipengerusikannya bersama Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga dan beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain. Sebelum ini Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Saifuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Temerloh kerana menghadiri mesyuarat anjuran pembangkang. Saifuddin perlu menjawab surat berkenaan dalam tempoh 14 hari.